KENYATAAN MEDIA

LEBIH RM168,000 DIKUMPUL TKMM UNTUK MANGSA GEMPA BUMI SABAH SETAKAT INI

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKMM) bagi membantu mangsa gempa bumi di Sabah mengutip lebih RM168,000 setakat 11 malam ini melalui sumbangan orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

TKMM yang dikelolakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi itu diaktifkan sejak 8 Jun lepas susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 5 Jun.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata jumlah sumbangan yang dikutip dalam masa yang singkat membuktikan keprihatinan dan sifat pemurah rakyat Malaysia dalam membantu golongan yang memerlukan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata sumbangan itu bukan sahaja dapat meringankan beban dan penderitaan yang ditanggung mangsa serta anggota keluarga mangsa, malah boleh membantu malim gunung yang turut terkesan oleh bencana itu.

"Tugas sebagai malim gunung sungguh mencabar dan memerlukan perlindungan insurans sewajarnya untuk menghadapi bencana atau berlakunya perkara yang tidak dijangka.

"Justeru, kemungkinan sebahagian daripada hasil sumbangan derma ini seperti yang dicadangkan (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini boleh digunakan untuk tujuan berkenaan," katanya.

Lapan belas orang termasuk warga asing merangkumi 14 pendaki dan empat malim gunung terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu.

Sumbangan boleh dibuat dengan menaip GEMPA , contohnya 1/3/5/10/15/20/30/40/50> dan hantarkan ke 13999 menggunakan telefon bimbit.

TAMAT

Copyright © 2015 Malaysian Communications and Multimedia Commission. All Rights Reserved.