KENYATAAN MEDIA

TKKMM DIAGIHKAN KEPADA DUA NEGERI - AHMAD SHABERY

KEMAMAN - Sebanyak RM352,258 hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) akan dibahagikan kepada dua negeri yang dilanda banjir teruk, awal Disember tahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah kutipan TKKMM akan dibahagikan sama rata kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu dan Pahang dengan setiap negeri akan memperoleh sebanyak RM176,129.

Menurutnya, penerimaan orang ramai terhadap kaedah derma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kini membuahkan hasil positif dan mendapat sambutan mengalakkan.

"Kita sedar ada orang nak beri sumbangan tetapi tidak tahu saluran manakah yang sesuai dan memudahkan mereka. Justeru, kita telah lancar dan perkenalkan kaedah kutipan derma menerusi SMS ini bermula dengan bantu mangsa Taufan Haiyan yang melanda Filipina November tahun lalu dan ia dilihat memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kutipan wang TKKMM berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan wakil negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang juga Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri dalam majlis ringkas di sini hari ini. 

TAMAT

Copyright © 2015 Malaysian Communications and Multimedia Commission. All Rights Reserved.